Kerajaan berpeluang tangani isu kehilangan RM5 bilion dalam Belanjawan 2024 - NGO

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani berpeluang untuk mencapai apa yang belum dapat diselesaikan oleh Kerajaan terdahulu dengan melaksanakan langkah inovatif yang boleh menghentikan masalah rokok seludup, kata Advokasi Perusahaan dan Industri Sdn Bhd (API).

API yang juga adalah merupakan peguam bela untuk kelestarian, pertumbuhan perniagaan dan pencegahan jenayah komersial dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan beberapa rampasan rokok seludup yang didedahkan oleh Pasukan Gerakan Marin, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara.

Pengarah Urusan API, Datuk Fazli Nordin, berkata usaha yang dilakukan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengurangkan masalah rokok seludup harus dipuji.

"Namun, memandangkan masalah itu kekal sistemik dan berakar umbi, usaha mereka adalah seperti cuba memindahkan gunung menggunakan sudu," tambahnya.

Menurut API, kelaziman rokok seludup di Malaysia adalah pada 55.3% pada Mei 2023, telah mengakibatkan kerugian kira-kira RM5 bilion cukai tidak dikutip setiap tahun.

Katanya, terdapat beberapa langkah dibuat dalam Bajet 2021 untuk menangani pembekalan rokok seludup ke negara ini, termasuk larangan pemindahan kapal.

"Walaupun langkah-langkah ini membawa beberapa penambahbaikan, namun, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membasmi masalah ini sepenuhnya dan menghentikan ketirisan besar-besaran dalam ekonomi kita."

"Malangnya, tiada langkah atau dasar baharu yang diperkenalkan dalam Bajet 2022. Menilai daripada langkah yang dilaksanakan dalam Bajet 2021, ia jelas menunjukkan bahawa memperkenalkan dasar baharu yang berkesan adalah cara terbaik untuk menangani perdagangan rokok tidak sah.

"Tindakan penguatkuasaan (seperti rampasan dan serbuan) sahaja tidak akan menggerakkan apa-apa. Kerajaan Madani harus mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan idea dan langkah untuk menangani permintaan rokok seludup yang murah ini" katanya.

Fazli seterusnya menjelaskan bahawa rokok seludup yang dijual pada harga purata RM6 sebungkus adalah jauh lebih menarik berbanding rokok sah yang dijual pada harga paling rendah RM12 sebungkus.

Perbezaan harga ini adalah antara punca utama yang menyebabkan rokok seludup berkembang pesat di Malaysia.

API juga bersetuju dengan komen ADUN Taman Medan, Dr Afif bin Bahardin, yang menyatakan bahawa aspirasi Kerajaan untuk mengharamkan rokok untuk generasi akan datang di bawah dasar Generasi Penamat akan berakhir dengan kegagalan kerana tahap perdagangan rokok tidak sah hari ini.

"Kita mesti belajar daripada sejarah bahawa dasar larangan hanya akan menguntungkan perdagangan haram, memperkayakan penjenayah dan menyebarkan rasuah di institusi awam kita," katanya.

Previous
Previous

Kerajaan perlu perkenal dasar baharu, henti seludup rokok

Next
Next

Bajet 2024: Hentikan masalah rokok seludup, elak kerajaan rugi RM5 bilion