Negara rugi RM10 bilion setahun akibat rokok seludup – API

PETALING JAYA: Perdagangan rokok seludup di negara ini terus menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian dianggarkan kira-kira RM10 bilion setahun, menurut Advokasi Perusahaan dan Industri (API).

Pengarah Urusannya, Datuk Fazli Nordin berkata, ia merangkumi kira-kira RM5 bilion hasil cukai yang tidak dipungut serta tambahan RM5 bilion perbelanjaan awam berterusan bagi membiayai usaha penguatkuasaan.

Katanya, kerugian besar itu menunjukkan beban fiskal berterusan yang terpaksa ditanggung negara akibat perdagangan haram.

“Angka tersebut juga mencerminkan kehilangan hasil negara selain kos besar yang perlu dibelanjakan setiap tahun bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

“RM15.5 bilion yang berjaya dipulihkan oleh kerajaan melalui tindakan penguatkuasaan dalam tempoh dua tahun lalu mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan skala sebenar ketirisan dana awam walaupun usaha penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fazli, angka pemulihan mencerminkan keupayaan penguatkuasaan yang kukuh, namun hanya menunjukkan jumlah yang berjaya dirampas dan bukan keseluruhan pendedahan fiskal akibat perdagangan haram.

Beliau berkata, penggunaan rokok haram sahaja mengakibatkan kira-kira RM5 bilion hasil cukai hilang setiap tahun, manakala pengeluar, pengedar dan peruncit sah terus berdepan persaingan tidak adil daripada produk yang tidak dikenakan cukai dan tidak dikawal selia.

Katanya, peruntukan Persekutuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjumlah RM19 bilion pada 2024 dan RM19.5 bilion pada 2025.

“Kami menganggarkan daripada jumlah peruntukan ini, kira-kira RM5 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk melengkapkan dan melatih pegawai penguatkuasa serta melaksanakan aktiviti pembanterasan penyeludupan.

“Negara pada asasnya terus membelanjakan jumlah yang besar bagi menangani masalah sama setiap tahun. Membelanjakan RM5 bilion atau lebih untuk mendapatkan semula RM5 bilion adalah tidak masuk akal.

“Selain kerugian fiskal, perdagangan haram mewujudkan padang permainan yang tidak seimbang bagi perniagaan patuh yang memenuhi tanggungjawab cukai dan peraturan,” katanya.

Tambah beliau, perkara sedemikian hanya melemahkan integriti pasaran, memesongkan struktur harga dan menjejaskan keyakinan terhadap persekitaran operasi.

Katanya, isu tersebut bukan melangkaui penyeludupan di sempadan semata-mata, sebaliknya melibatkan rantaian bekalan yang adaptif, kelemahan dalam kawalan import dan ketersediaan berterusan di peringkat runcit.

“Selagi produk seludup kekal jauh lebih murah dan mudah diperoleh, penguatkuasaan semata-mata akan berdepan keterbatasan yang ketara.

“API mengiktiraf peranan penting Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi penguatkuasaan lain dalam melindungi hasil negara serta keselamatan.

“Agensi penguatkuasaan wajar diberikan pengiktirafan atas usaha mereka. Namun, kejayaan jangka panjang perlu diukur berdasarkan sama ada aktiviti pasaran haram benar-benar berkurangan dari semasa ke semasa, bukan sekadar berdasarkan nilai rampasan yang direkodkan,” katanya.

Katanya lagi, strategi yang lebih memfokuskan kepada permintaan dilaksanakan bagi menangani perdagangan haram dan penguatkuasaan semata-mata tidak mampu menyelesaikan ketidakseimbangan pasaran yang didorong oleh jurang harga yang berterusan.

“Menangani faktor struktur yang mendorong penggunaan produk seludup termasuk kelemahan rantaian bekalan dan insentif pengguna adalah kritikal bagi memulihkan persaingan yang adil, melindungi perniagaan patuh serta mengukuhkan daya saing ekonomi jangka panjang negara,” katanya. – UTUSAN

Previous
Previous

Malaysia Suffers Combined Losses of RM10 Billion Annually to Illegal Cigarettes Despite Stronger Enforcement

Next
Next

Rising taxes on cigarettes, alcohol may fuel black market, says industry expert