Gubal dasar rokok dengan matlamat ‘menghukum’: Ini sahaja cara Malaysia?

Dalam hal rokok dan vape, Malaysia nampaknya ada satu kemahiran yang sangat konsisten. Bukan kepakaran mengawal selia secara seimbang. Bukan kebijaksanaan merangka strategi fiskal jangka panjang.

Tetapi kepakaran menekan satu butang sahaja — butang “menghukum”.

4.5 Juta Perokok: Wujud Bila Kutip Cukai, Hilang Bila Gubal Dasar

Malaysia mempunyai sekitar 4.5 juta perokok dewasa. Mereka ini bukan statistik abstrak.

Mereka rakyat, pengundi dan pembayar cukai. Setiap tahun mereka menyumbang sekitar RM6.7 bilion kepada hasil negara melalui duti dan cukai tembakau.

Namun apabila tiba masa menggubal dasar, suara mereka seolah-olah tidak wujud.

Jawatankuasa dipenuhi mereka yang tidak merokok dan tidak melalui realiti ketagihan nikotin. Maka lahirlah dasar yang moralistik dan lorongnya sehala semata-mata.

Perokok dilihat sebagai masalah. Industri dilihat sebagai musuh. Penyelesaian pula hampir sentiasa sama — sekat dan hukum.

Mudah menghukum apabila tidak pernah berada dalam kedudukan yang dihukum.

GEG: Gah Di Pentas, Gugur Di Realiti

Kita pernah menyaksikan episod Generational End Game (GEG). Dasar yang kononnya revolusioner. Kononnya mahu menjadikan Malaysia peneraju dunia dalam penghapusan merokok.

Tetapi akhirnya GEG rebah sebelum sempat berjalan jauh. Isu perlembagaan dan cabaran perundangan menjadikan dasar itu gugur di tengah jalan.

Hebat ketika sidang media. Lemah apabila diuji realiti undang-undang. Namun mentaliti di sebaliknya tidak berubah — semakin keras sesuatu cadangan, semakin tinggi markah moralnya.

Dasar awam bukan pertandingan siapa paling tegas. Ia seni mengurus realiti.

Dan realitinya, rakyat tidak berubah hanya kerana undang-undang ditulis lebih keras.

RM6.7 bilion itu Nak Ganti Dengan Apa?

Dalam masa yang sama, kerajaan menerima sekitar RM6.7 bilion setahun daripada cukai tembakau.

Jika benar mahu memerangi perokok sehingga hasil ini menyusut drastik, soalan asas perlu dijawab dengan jujur: RM6.7 bilion itu mahu diganti dengan apa?

Rakyat sudah berdepan pelbagai cukai dan levi. Adakah akan muncul lagi cukai baharu untuk menampung kekurangan ini?

Hipokrasi paling ketara ialah apabila perokok dilabel sebagai beban kesihatan awam, tetapi hasil mereka diterima tanpa banyak soal.

Bukti Dasar Terlalu Keras Galakkan Rokok Seludup

Lebih ironik, dalam keghairahan menghukum rokok sah, pasaran rokok seludup terus berkembang.

Menurut Advokasi Perusahaan dan Industri (API), perdagangan rokok seludup dianggarkan mencecah RM10 bilion setahun. RM5 bilion hilang daripada kutipan cukai dan RM5 bilion lagi dibelanjakan untuk penguatkuasaan.

Kita berbelanja RM5 bilion untuk mengejar RM5 bilion. Apabila harga terlalu tinggi dan akses terlalu ketat tanpa strategi seimbang, pengguna tidak berhenti. Mereka beralih ke pasaran gelap. Rokok seludup jauh lebih murah!

Ekonomi tidak tunduk kepada slogan.

Harm Reduction: Kenapa Takut Dengan Pendekatan Berasaskan Bukti?

Pendekatan pengurangan mudarat hampir tidak diberi ruang bermakna dalam wacana dasar Malaysia.

Tidak semua perokok mampu berhenti serta-merta. Alternatif yang dikawal rapi boleh mengurangkan risiko berbanding rokok konvensional. Ini penggubal dasar di Malaysia kena hormati. 


Apakah dengan menaikkan cukai dan harga sekotak menjadi RM50 akan selesaikan masalah? Ia mungkin bagi bakal-bakal perokok akan takutlah harga mahal tapi bagaimana yang sudah jadi perokok tegar? 

Inilah masalahnya penggubal dasar tidak mahu tahu pun apa pendapat perokok sedia ada. Semuanya disapu dalam satu bakul. Rokok, vape, produk nikotin — semuanya sama. Logiknya mudah: kalau tidak boleh hapuskan, kita sekat. Haramkan seluruh negara. Itu sahajakah kreativiti yang ada?

Tetapi sekatan tanpa strategi hanya menolak pengguna kembali kepada produk paling berbahaya atau ke pasaran rokok seludup.

UK Bentang Dasar, Malaysia Bentang Emosi

Di United Kingdom, kerajaan mereka hadir secara terbuka dalam UK E-Cigarette Summit 2025 dan membentangkan dasar secara telus.

Mereka tetap tegas. Mereka tetap kawal. Tetapi mereka tidak berpura-pura bahawa jutaan pengguna dewasa boleh dipadam dengan retorik.

Itulah beza antara dasar matang dan dasar populis.

Mengapa Malaysia tidak berusaha menghantar penggubal dasar menghadiri persidangan sebegini? Sebab rasa dasar digubal oleh PTD dan menteri adalah setaraf kayangan dewata? Tidak boleh disanggah lagi?

Dasar Matang Atau Sekadar Dasar Paling Keras?

GEG sudah rebah. Rokok seludup masih berleluasa. Hasil cukai masih diterima. Perokok masih wujud.

Persoalannya bukan sama ada mahu kurangkan merokok atau tidak. Ini kerana kerajaan Malaysia kena mengiktiraf golongan perokok sedia ada. Dengarlah suara mereka juga. 

Dan persoalan paling penting ialah sama ada kita mahu dasar rokok yang realistik dan seimbang — atau terus selesa menekan satu butang yang sama...Butang “menghukum”. - DagangNews.com

Nota Pengarang:

1. DagangNews buat julung kalinya menghadiri sidang kemuncak E-Cigarette Summit 2025 tersebut, dibawa oleh Phillip Morris International (PMI) pada Disember lepas.
2. Tiada wakil PMI atau mana-mana syarikat rokok pun membentangkan kertas kerja atau dibenarkan menaja secara langsung atau tidak langsung persidangan tersebut.
3. DagangNews telah dipelawa beberapa kali bukan sahaja oleh PMI tetapi juga syarikat rokok lain sebelum ini bertujuan membuka perspektif apa yang dilaksanakan di negara-negara luar.
4. Dan hanya kali ini DagangNews setuju turut serta setelah melalui pengalaman membuat liputan Rang Undang-Undang GEG secara intensif.
5. Meneliti butiran atur cara dan panel pembentang kertas kerja, didapati lebih menerangkan peraturan dan penggubalan serta pelaksanaan dasar yang dilaksanakan di UK, Australia dan New Zealand sama ada boleh jadi perbandingan atau contoh ikutan.
6. Input sidang tersebut digunakan sebagai landasan kepada artikel ini, dan juga artikel-artikel berkaitan penggubalan dasar rokok, di masa-masa mendatang.
7. Dan ya, penulis adalah seorang perokok lebih 30 tahun. 



Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 33 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Smoke Get In Your Eyes oleh The Platters berulang-ulang kali. 

Next
Next

Malaysia Suffers Combined Losses of RM10 Billion Annually to Illegal Cigarettes Despite Stronger Enforcement