Kerajaan Perpaduan digesa hentikan jualan laris rokok seludup di pasaran
KUALA LUMPUR 24 Mei - Malaysia boleh mengurangkan masalah penyeludupan rokok tegar dengan menumpukan usaha penguatkuasaan terhadap jenama rokok seludup terlaris sambil mengetatkan langkah keselamatan di sekitar kawasan pantai negara, menurut Advokasi Perusahaan dan Industri Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Advokasi Perusahaan dan Industri, Datuk Fazli Nordin berkata, ia menjadi persoalan bahawa jenama rokok haram nombor satu di Malaysia, John mempunyai bahagian pasaran lebih 30% daripada semua rokok yang dijual, diterjemahkan kepada kerugian RM1 bilion hasil cukai bagi kerajaan setiap tahun.
"Bagaimanakah jenama yang tidak membayar cukai dan tidak mematuhi undang-undang dibenarkan berkembang dan membanjiri pasaran rokok Malaysia, membolehkan penjenayah mengaut keuntungan lebih RM500 juta setiap tahun?," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berhubung tiga jualan rokok seludup teratas di Malaysia, iaitu John, Canyon dan Era mencatat peningkatan lebih daripada 28% daripada semua rokok yang dijual di Malaysia.
Menurut Fazli, apa yang dikatakan kejayaan dan percambahan jenama rokok haram terlaris bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan wang tetapi memberi kesan negatif kepada prestasi pemain industri yang mematuhi undang-undang, menghantar mesej yang salah kepada pelabur asing, membiayai jenayah dan memudahkan rasuah.
"Jelas sekali, kesan pengganda negatif daripada membenarkan jenama rokok haram seperti John berkembang jauh melebihi kerugian RM1 bilion kepada ekonomi Malaysia," katanya.
Pihaknya juga menggesa Kerajaan Perpaduan supaya melaburkan lebih banyak masa, usaha dan sumber untuk menghapuskan jenama rokok haram terlaris secara berkesan untuk selama-lamanya.
"Dengan berbuat demikian, Advokasi Perusahaan dan Industri yakin negara akan dapat mengurangkan kelaziman rokok haram, yang kini hampir 60%, secara nyata.
"Penguatkuasaan adalah faktor kejayaan kritikal ke arah menghapuskan jenama rokok haram terkemuka, terutamanya di kawasan pesisir pantai yang menjadi tempat yang popular bagi sindiket jenayah membawa masuk produk seludup mereka," katanya.
Katanya, larangan kerajaan terhadap pemindahan kapal telah berjaya dan perlu dikekalkan, yang mana sindiket jenayah telah beralih kepada modus operandi lain, mengambil kesempatan di kawasan pantai yang dikawal ringan.
Beliau juga mencadangkan penguatkuasaan boleh dipertingkatkan dengan lebih banyak 'boots-on-the-ground', teknologi yang lebih baik seperti penggunaan dron dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta latihan yang lebih baik.
"Bagi memudahkan penguatkuasaan, agensi kita juga mesti boleh mengakses risikan terkini. Ini boleh dipermudahkan melalui penglibatan dengan komuniti berisiko di kawasan pantai dan mungkin sistem ganjaran disediakan untuk pemberi maklumat," katanya.
Dalam pada itu, beliau menganggap bahawa Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dicadangkan berpotensi menguntungkan jenama rokok seludup terlaris.
"Jenama seludup terlaris ini, yang mempunyai kekuatan kewangan dan beroperasi di atas undang-undang, sudah pasti akan mendorong produk mereka kepada yang dilarang membeli rokok.
"Tanggapan bahawa GEG akan menamatkan rokok haram adalah naif, memandangkan percambahan rokok haram dan rekod prestasi yang lemah dalam menguatkuasakan masalah ini," katanya. - DagangNews.com