GEG sukar dikuatkuasa - API
KUALA LUMPUR: Advokasi Perusahaan dan Industri (API) menyatakan dasar Generational Endgame (GEG) yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan sukar untuk di kuat kuasa.
Ia menggesa kementerian untuk menggugurkan cadangan peruntukan GEG daripada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.
Pengarah Urusan API, Datuk Fazli Nordin, berkata dasar ini tidak akan dapat dikuatkuasakan.
Ia katanya, bukan sekadar melanggar perlembagaan, tetapi dari sudut penguatkuasaan, ia sangat mencabar dan ibarat mimpi ngeri, terutamanya bagi pihak berkuasa penguatkuasaan yang perlu menjalankan beberapa peringkat pengesahan.
Sukar juga untuk membayangkan seorang dewasa berusia 30 atau 40 tahun diminta oleh pihak berkuasa pada masa hadapan meminta kad pengenalan hanya kerana individu itu dilihat memegang produk dan dihukum atau dilabelkan sebagai penjenayah hanya kerana tahun kelahirannya.
"Selain itu, isu utamanya di sini adalah penguatkuasaan. Pada masa ini, kita tahu Malaysia sedang bergelut dengan kadar rokok seludup yang sangat tinggi dijual di pasaran, dan penguatkuasaan negara gagal menghalang perokok daripada mendapatkan produk seludup. Jika ini pun gagal, apatah lagi menghentikan perokok melalui dasar GEG," katanya.
API mengakui kebimbangan kesihatan awam yang berkaitan dengan penggunaan vape dan tembakau. Bagaimanapun, API mahu pendekatan pragmatic diambil dan menggesa Kerajaan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memacu program pendidikan dan kesedaran.
"Daripada melaksanakan GEG, lebih baik Kerajaan fokus pada pendidikan dan kesedaran. Jangan hanya membuat dasar yang bagus di atas kertas tetapi tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak akan berkesan.
"Akta tembakau telah ditangguhkan terlalu lama. Kerajaan harus memisahkan GEG daripada rang undang-undang tembakau supaya undang-undang boleh digubal untuk mengawal selia produk vape yang sehingga kini tidak dikawal.
"Ia juga akan membolehkan garis panduan dan prosedur operasi standard yang jelas untuk pemain industri yang telah menunggu selama bertahun-tahun untuk satu peraturan yang relevan, diperkenalkan," kata Fazli.